November 16, 2005

Koleksi Gurindam Aidilfitri

Pada masa raya semakin menjelang, saya banyak mendapat SMS dari rakan-rakan. Semuanya pemalas nak tulis kad raya, tapi tak mengapalah sebab saya pun malas juga.

Satu pantun yang tak menarik langsung tapi sangat mengujakan saya adalah seperti berikut:

Nadi Vtec tiada bandingannya,
Mana taknya raja segala enjin,
Saya nak ucapkan selamat hari raya,
voooompraaaaaAAANNNG maaf zahir dan batin!


Saya rasa anda sudah tentu boleh mengagak, orang jenis apa yang menhantar pantun tersebut. Pastinya budak-budak geng kereta. Saya pun tak sangka dia nak hantar pantun sedemikian rupa, dan saya percaya ini memang hasil tangan dia sendiri. Tahun lepas pun dia ada hantar pantun sedemikian rupa, saya dah lupa bagaimana pantunnya.

Seloka yang berikutnya, tak pasti hujung pangkalnya. Saya pun terpinga-pinga membacanya..

Dam dam dum bunyi perut,
Bulan puasa pun berat tak mau surut,
Aidilfitri datang lagi jangan lupa posa 6 sunat diikut,
Agar perut boleh susut,

Tapi kalau di hari mulia berkunjung temu,
Beramah mesra di open house dan tak sedar makan ikut nafsu,
"Sendiri mau ingat" bak kata samy vellu,


Seloka apa entah, Pantun 4 kerat berima sama dan apa benda entah 3 baris sahaja. Yang berikutnya, saya agak seram membacanya, sebab terasa sangat-sangat.

dalam kerendahan hati,
ada ketinggian budi,
dalam kemiskinan harta,
ada kekayaan jiwa,
dalam gurau senda,
ada khilaf dosa,
selamat hari raya..


Yang ini pula agak tersusun bahasanya.

Indah nian di hening pagi,
Mergastua berkicau menari-nari,
Aidilfitri kini tiba lagi,
Mohon keampunan ikhlas diberi.

Satu syawal menjelang tiba,
Takbir bergema menggegar jiwa,
Sekiranya ada salah dan dosa,
Ampun dipinta di hari mulia.


Sama juga dengan yang ini, saya sungguh terpana membacanya.

Tiada guna batu permata,
Jika tidak terpancar cahaya,
Ampun maaf ikhlas dipinta,
Ucapan selamat hari raya.


Yang ini pula, mungkin kata-kata hikmat yang boleh dijadikan panduan kehidupan.

Mata kadang tersilap memandang,
Telinga kadang tersalah mendengar,
Mulut kadang terlepas berucap,
Hati kadang terlajak menduga,
Mohon maaf segala khilaf yang pasti ada.


Jika diamati, gaya bahasanya agak tegas seperti seloka-seloka yang ditulis oleh pendeta Za'ba, di mana gaya bahasanya agak bersahaja dan tepat. Kejarangan penemuan gaya bahasa yang sepeti berikut adalah disebabkan budaya kemelayuan yang lebih suka cakap berlapik atau berkias, di mana maksud sesuatu perkara yang ingin disampaikan di dalam sesuatu tutur kata tersebut adalah tersirat, jika faham, maka fahamlah orang yang ditujukan itu. Jika tidak, si penutur akan terus berkias atau menyindir bagi menyedarkan orang yang ditujukan itu.

Pada saya, gaya bahasa bersahaja memang agak keras, akan tetapi, telinga akan lebih panas melalui sindiran. Pada saya, biarlah sesuatu itu dituturkan dalam bahasa yang tepat tapi dengan alunan bahasa yang lembut diikuti dengan senyuman.

Agak sukar sebenarnya menjelaskan sesuatu di dalam Bahasa Melayu. Ianya adalah suatu bahasa yang indah, akan tetapi, di dalam norma kehidupan yang moden, gaya bahasa percakapan yang indah berbunga-bunga adalah menjadi satu ejekan. Berlainan dengan Indonesia, Jawa dan Minang, bahasa yang dituturkan sehari-harian sangat indah. Jauh sekali bezanya.

Seloka yang berikutnya ini, mungkin agak sederhana dengan selitan unsur-unsur keagamaan.

Tiada kata seindah zikir,
Tiada bulan seindah ramadhan,
Untuk itu izinkan kedua tapak tangan bertaut,
Memohon maaf untuk lisan yang terlanjur,
Janji yang terabai,
Hati yang berprasangka,
Dan semua sikap yang menyakitkan.


Yang ini pula bunyinya seperti daripada seorang sahabat kepada seorang sahabat,

Untuk lisan yang terlanjur,
Janji yang terabai,
Hati yang berprasangka,
Dan segala kesilapan yang tidak disedari,
selamat hari raya, maaf zahir dan batin.


Yang ini pula ditujukan secara umum,

Salam aidilfitri buat semua,
Ampun dan maaf ikhlas dipinta,
Jika tersalah cakap terkasar bahasa,
Lumrah kita manusia biasa.


Yang berikut adalah SMS2 sama yang saban tahun saya perolehi daripada kawan-kawan saya. Tak bosankah menghantar ungkapan2 yang sama dan tidak tulen?

Bunga mawar bunga kasturi,
Harum baunya tidak terperi,
SMS dihantar pengganti diri,
Memohon maaf di aidilfitri.

Ketupat pulut di atas para,
Hendak direbus di tepi perigi,
Sms dihantar pengganti kad raya,
Tanda ingatan di aidilfitri

Lapar puasa terketar-ketar
Bila berbuka lega rasanya
Kad raya rasanya tak sempat nak hantar
Saya hantar sms ni kira boleh la ya.

Anak pak dollah makan lepat,
Makan lepat sambil melompat,
Nak hantar kad raya dah tak sempat,
Pakai sms pun ok what?

Kura-kura berjalan lambat,
Anak kera melompat-lompat,
Kad raya nak hantar takut tak sempat,
Cara sms pun dah kira selamat.


Yang di bawah ini, tak tahulah saya, seloka atau gurindam, ianya diolah secara tidak kemas dan tunggang-langgang,

Nasi lemak buah kurma,
Kuah santan masak berlada,
Ikan bilis masak 3 rasa,
Ulam timun ulam pegaga,
Air tuak air nira,
Jgn cuak jgn curiga,
Saje nak ucap selamat hari raya.


Dalam banyak-banyak gurindam yang diterima, ada satu ucapan yang saya rasa telah dipopularkan beberapa tahun yang lalu berikutan iklan pemandu teksi yang terpaksa melayan kerenah pelanggannya yang baru balik dari london. Ia berkisar tentang perjalanan yang agak jauh, dimana pemandu teksi tersebut (dilakonkan oleh Adibah Noor) bersusah-payah mencari jalan ke tempat yang ingin dituju oleh pelanggannya itu. Yang peliknya, pelanggannya itu bercakap bahasa melayu dengan menggunakan slanga dan lenggok orang barat berbahasa melayu. Memandangkan perjalanan yang jauh, pelangganya tertidur, dan secara tidak sengaja, pemandu teksi terpaksa menekan brek kerana ada lembu melintas. Apa yang dijawabkannya, saya pun dah lupa.

Inilah SMS yang dihantar, yang saya rasa ada kaitannya dengan iklan tersebut,

sir lump mad hurry rare year, ma half za hair bar teen, 2 loose eek class,
sorry i baroo bar leak dairy london.


Bolehkah anda membacanya dengan intonasi yang betul?

Berikut adalah pantun orang pemalas nak berpantun tetapi ada hati untuk meminta duit raya,

Selamat hari raya maaf zahir batin,
Angpau jangan lupa tolong bank in.


Yang ini pula mempunyai sedikit kesamaan dengan pantun yang saya tulis di dalam artikel yang lalu, cuma diubah semula oleh si penerima sebelum menghantarnya kepada orang lain,

Beli daging di pasaraya,
Buat rendang dalam kuali,
Kalau puasa selamat hari raya,
Kalau tak puasa sambutlah deepavali.


Ini pula ada contoh2 ucapan yang mudah, ringkas tetapi sekurang-kurangnya ia adalah tulen, tanpa meniru dari mana-mana pihak, yang saya rasakan, saya dapat menerimanya dengan hati yang terbuka, kerana keikhlasan yang jelas terpancar. Yang penting adalah ucapan yang tepat, dan bermakna, kerana kata-kata yang indah dan manis tak semestinya sentiasa dimaksudkan oleh si penuturnya,

Assalamualaikum
Selamat hari raya
Maaf zahir dan batin
Semoga bahagia hendaknya

Selamat tinggal ramadhan
Selamat datang syawal
Selamat hari raya


Mudah sekali. Dengan yang demikian, sekianlah dahulu artikel untuk hari ini, satu artikel yang telah lama saya rancang untuk menerbitkannya. Setelah beberapa lama barulah saya berpeluang dengan memperolehi sedikit masa yang dianugerahkan tuhan untuk menulis di dalam blog bahasa melayu saya ini. Kebanyakan masa saya banyak dihabiskan di dalam blog berbahasa inggeris saya.

Semoga, kita akan dapat lebih lagi idea2 baru sebagai wacana dalam SMS untuk dihantar sesama kita kelak.

Wassalam.

-Izham-

No comments:

Sponsor Links

Free Iphone?
Or Free Ipad?
Learn how to get free gadgets

Want to make money from Iphone/Ipad apps?
Affiliate yourself with apps developer to make money

Search Optimize your website
and win free gadget?
SEO Marketing