November 1, 2005

Nak kutuk lagi bley tak?

Baru-baru ni, semasa di JB, hari Jumaat petang, keluarga saya menerima sepasang tetamu kenalan lama dari Kelantan. Pada malam khamis sebelumnya, saya dan bapa saya menunggu mereka di stesen minyak petronas berhampiran dengan Giant Tampoi. Sempat juga saya masuk ke dalam restoran McDonald's tersebut dan membeli McFlurry Oreo, kesukaan saya itu. Sedang berjalan itu, sepasang mata memerhatikan saya dengan penuh rasa ingin tahu, selamba je saya balas renungannya itu tetapi dengan tidak disangka, gadis manis itu terus sahaja merenung ke mata saya tanpa ada perasaan, "saya akan mengalah" dari matanya itu.

Akhirnya, saya yang mengalah, kerana jika tidak, saya mungkin terpaksa duduk sebentar bersama gadis tersebut meninggalkan bapa saya keseorangan di luar. Sebaik sahaja saya mendapatkan McFlurry saya, terus sahaja saya keluar dari restoran sambil mendengar gadis itu berbisik-bisik dengan rakan-rakannya mengenai saya.

Keesokan harinya, tetamu saya itu, iaitu Dr. Aziz dan Kak Anis isterinya, saya hantar ke singapura dengan menaiki bas di stesen bas larkin. Oleh kerana kami tiada mempunyai sebarang rancangan sambutan untuk mereka, bapa saya mencadangkan agar kami pergi berbuka di luar, makan sesuatu yang istimewa seperti makanan laut dan sebagainya.

Rancangan tidak berjalan seperti yang sepatutnya, Dr. Aziz dan isterinya masih belum tiba di JB, dan saya difahamkan mereka juga terpaksa berbuka di atas jambatan yang menghubungkan Singapura dengan JB. Hanya dengan sebiji gula-gula hacks. Kasihan sungguh saya mendengarnya.

Inilah bahagian yang saya ingin kutuk sebenarnya. Kami masih meneruskan dengan agenda kami untuk berbuka di luar, memandangkan emak saya pula tidak menyediakan apa-apa untuk berbuka di rumah, jadi lebih baik sahaja makan di luar. Saya yang semasa itu sedang sibuk dengan pelbagai projek persendirian di rumah, keluar juga kemudian, dan tiba di restoran Remaja, berdepan dengan Masjid di Bandar Baru Uda itu.

Masya-Allah, tiada tempat rupanya dan bapa saya masih tidak kelihatan, walaupun bapa saya sudah datang awal. Saya cuba menghubungi bapa saya melalui telefon bimbit, dan beliau menyatakan dia sudah mendapat tempat duduk, dan terus sahaja saya dan adik saya Izzat masuk ke dalam. Sesudah mengambil tempat, bapa saya memaklumkan yang tiada ala-carte, hanya buffet disediakan.

Mendengar sahaja buffet, saya pun menjeling ke kiri kanan, sungguhlah saya tidak berpuas hati, duduk berdua, ambil makanan seperti hendak makan sepuluh orang. Pinggan kuih sahaja sampai 3 pinggan, buah pun 3 pinggan. Itu belum masuk lauk pauknya lagi. Dengan hati yang agak tidak berpuas hati melihat ketamakan orang-orang JOHOR ini mengambil makanan, saya pun terus berlalu ke tempat meletak makanan buffet itu.

Masya-Allah, habis! Air habis, buah habis, lauk pun habis. Yang tinggal hanya nasi. Pinggannya pun habis. Gelas utk mengambil air pun habis. Kebetulan pula azan sedang dilaungkan. Hati saya sangat mendidih pada masa itu memerhatikan orang2 lain yang mengambil makanan secara berlebihan dan tidak memikirkan orang lain. Mengapa perlu mereka itu mengambil makanan dengan banyak? Bukankah lebih elok jika ambil makanan secara berdikit-dikit, mengikut keperluan.

Banyak yang saya boleh simpulkan di sini mengenai sikap kebanyakan orang-orang johor yang saya lihat di dalam restoran itu. Bukanlah tujuan saya mengutuk orang johor secara umum, tapi ini adalah pemerhatian saya. Tidak hairanlah saya memang susah nak cari perempuan johor yang menarik di JB ini. Bekas teman perempuan saya pun tergolong antara perempuan-perempuan tercantik di JB itu kerana kebanyakan gadis-gadis melayu di JB ini, mengalami kelebihan berat. Saya sebut gadis, kerana sudah tentu mata saya sentiasa melihat-lihat gadis untuk dipandang. Tak usah sebutlah pasal lelaki. Pun ramai yang mengalami kelebihan beratan.

Sikap mereka di restoran itu;
  1. Pemalas untuk bergerak berulang kali ke tempat makanan utk mengambil makanan, manalah tak berat masing-masing.
  2. Tamak, dengan mengambil makanan mengikut hawa nafsu, dan secara berlebih-lebihan.
  3. Membazir, apabila makanan yang mereka ambil itu tidak habis dan sudah tentu pekedai akan membuang sahaja makanan yang berlebihan, yang mana, kalau masih boleh dimakan, boleh sahaja dibawa pulang oleh pekerja untuk diberi makanan kepada anak-anak mereka di rumah.
  4. Zalim, kerana buffet itu sangat murah, dan mereka mengambil peluang itu dengan mangambil makanan dengan berlebihan dan mungkin boleh merugikan pekedai. Pekedai itu pun manusia juga.
  5. Tidak bersyukur, orang2 yang bersyukur tak makan sedemikian rupa.
  6. Pentingkan diri sendiri, kerana tidak memikirkan nasib orang lain yang datang lewat untuk mengambil makanan.
  7. Berebut-rebut macam budak-budak, apabila mengambil makanan, macamlah makanan akan lari dikejar oleh mereka.
  8. Buruk makan, makan sampai kenyang dan tak boleh bangun.
Banyak lagi sebenarnya, tapi 8 pun sudah lebih dari memadai untuk saya perkatakan di sini. Saya akui isu ini agak sensitif dan pasti orang-orang Johor akan marah saya, tapi bukan niat saya untuk mengenakan orang Johor atau apa-apa, saya suka duduk di Johor, dan suka juga berkawan dengan orang-orang di johor yang terlebih peramah, sama terlebih ramahnya seperti saya ini. Cuma beberapa tabiat seperti di atas (tidak termasuk memandu lagi, tapi boleh diabaikan kerana saya pun sudah memandu sekiasu mereka sekarang, jika ada helikopter trafik di JB, sudah pasti gambar kereta saya di kaca TV setiap hari) dan beberapa tabiat lain yang tidak perlu saya ceritakan di sini.

Apa-apa hal pun, saya mohon maaf awal-awal, saya tidak berniat nak kutuk orang johor, nak raya ni. Jika anda berada di tempat saya, tidak dapat mengambil makanan dan melihat orang lain makan secara berlebih-lebihan, pastu anda akan lebih marah kerana saya ini agak penyabar orangnya (kecuali di jalan raya, bukanlah nak bertumbuk tapi kalau lambat, saya pasti akan mengambil tindakan berbahaya seperti hendak berlumba, maafkan abang fiza kerana memandu bodoh melulu seperti itu dulu hehehe). Tak tahulah yer, jika saya memegang stereng kereta dan memegang gear, hati saya mudah dirobek dengan api kemarahan.

Sebelum saya mengakhiri cetusan rasa saya pada kali ini, ingin sekali saya berseloka serangkap pantun.

Penat seharian berlari-lari,
Singgah berehat di rumah Pak Ali,
Kalau berpuasa saya ucapkan Selamat Aidilfitri,
Kalau tidak berpuasa saya ucapkan Selamat Deepavali.

Sekian, Izham Singa Waliya melaporkan dari Senawang, N9.

No comments:

Sponsor Links

Free Iphone?
Or Free Ipad?
Learn how to get free gadgets

Want to make money from Iphone/Ipad apps?
Affiliate yourself with apps developer to make money

Search Optimize your website
and win free gadget?
SEO Marketing