May 16, 2007

Selamat Hari Guru

* This entry is written in Malay Language as I was raised and schooling in the Malay medium

Beberapa orang guru telah memberi impak besar terhadap hidupku; terutamanya guru-guru yang berjaya mencungkil dan menonjolkan kelebihan yang terdapat dalam diriku, dan seterusnya memimpinku dalam mengharungi liku-liku proses membesar sebagai seorang anak Melayu yang sentiasa dikelilingi olahan hidup yang tidak berketentuan.

Guru pertamaku adalah emak dan abahku sendiri. Teruk aku dirotan abah jika aku melakukan kesalahan. Lebam-lebam pehaku dicubit emak jika aku salah mengeja atau mengira. Tapi abahku sangat sayangkan aku; dibelikannya aku buku-buku untuk kutelah dan menimba pengetahuan. Dibelikannya aku permainan untuk aku merosakkannya, bagiku, merosakkan permainan hanyalah satu proses pembelajaran.

Kemudian, aku dihantar belajar membaca al-quran dengan Ustaz Che' Kob, seorang guru agama di Machang, Kelantan yang telah membuka mataku dengan al-Quran. Senang sekali aku menghafaz ayat-ayat lazim yang aku masih mengingatinya, sehingga kini. Jauh sekali guruku yang seorang ini untuk aku berjumpa kembali. Sayangnya terhadapku tak ubah seperti kesayangannya terhadap anak-anaknya, kerana aku sangat jelas sekali antara muridnya yang menyinar walau umurku tidak sampai pun 5 tahun waktu itu.

Kemudian ku berpindah dan bersekolah di Batu 9 Cheras, dan kemudianku berpindah lagi ke Sekolah Rendah Sultan Sulaiman, Kuala Terengganu. Pada tahun 4, aku menjadi anak murid kesayangan Cikgu Aman, yang sentiasa yakin aku mempunyai bakat sukan, walaupun aku secara lahiriahnya, sangat lembik. Beliau tidak salah, kerana tidak lama kemudian aku muncul sebagai salah seorang pemain ping-pong terhebat di sekolah, hebat menyaingi pelajar-pelajar tahun 5 dan 6.

Di sana juga, aku bertemu dengan guru Rahman, yang telah membuka telingaku dengan alunan mashaf-mashaf al-quran yang bisa membikin tubuhku gementar diuliti dengan linangan air mata. Aku sangat rindukan alunan merdu suara Guru Rahman. Kerinduanku itu seolah membolehkan aku sendiri mengalunkan mashaf-mashaf al-quran itu sendiri, walaupun tidak seindah alunan Guru Rahman itu.

Aku berpindah lagi dan guru-guru hidupku bertukar lagi. Di tahun 5 dan 6, aku bersekolah di Melaka di mana Pak Langku sendiri dan rakan karibnya, Cikgu Khamis menjadi guru rapatku. Mereka berdualah yang bersungguh-sungguh menonjolkan bakat kehidupanku untuk menjadikanku contoh kepada pelajar-pelajar yang lain. Aku berjaya memasuki sekolah menengah berasrama penuh di mana persekolahan ku yang sebenar bermula.

5 tahun ku di sana, guru yang paling memberiku perhatian ialah cikgu Jaafar. Antara pelajar tahun 1 yang pertama diketahui merokok, aku lebih berhati-hati menjalani kehidupan di sana. Cabaran dari senior-senior yang suka membuli, memukul dan apa sahaja, bukan sahaja menaikkan semangatku, malah aku berjaya mengatasi diriku yang lembik; di mana di tahun kedua sahaja aku antara yang terawal yang berjaya menyertai pasukan Kadet tentera, kebanggaan hidupku sehingga kini.

Selain cikgu Jaafar, cikgu Sharifah Asmak & cikgu Hafshah adalah 2 orang guru yang berjaya merobah persepsi diriku terhadap diriku sendiri. Walaupun aku merasakan yang aku sering dianiaya oleh mereka berdua, namun, itulah yang membuatkan aku lebih rapat dengan mereka dan membenarkan diriku memberi peluang kepada diriku untuk membuka mindaku dengan menerokai falsafah dan pemikiran kedua-duanya; yang aku rasakan sangat berbeza dengan guru-guru yang lain.

Puan Hafshah, walaupun sering mendendaku di kelas biologinya, aku rasakan itu adalah sesuatu yang perlu aku lakukan untuk mengambil perhatiannya. Aku sering menjadi pelajar yang terakhir akan duduk di dalam kelas sejarah Puan Sharifah Asmak kerana aku malas menjawab soalan. Malas atau pun tak tahu? Kedua-duanya sebab aku memang tidak mahu ambil kisah pun walaupun dalam kuiz sejarah yang aku mewakili sekolah, aku dapat markah tertinggi walaupun aku tak pernah menghadiri perbincangan yang sering diadakan.

Mungkin sebenarnya aku inginkan perhatian yang lebih dari kedua-dua orang guru ini. Aku pun dah lupa.

Dan Sazuan Nazrah juga telah menjadi guruku di luar kesedaranku. Dia telah membuka mataku tentang kewujudan kehidupan yang tidak pernah aku bayangkan dan alami sepanjang hidupku.

Cikgu Jaafar, sebagai seorang guru penolong kanan Hal Ehwal Murid dan Guru Disiplin, tidak sekalipun bercakap dengan lembut denganku. Di hari terakhir aku berjumpa dengannya di sekolah, pelukan dan kata-kata perangsangnya yang tidak tersangka-sangka terhadapku menjadi modal linangan air mata sepanjang perjalanan pulang ke kampungku. Sehingga kini, ia masih menjadi pegangan hidupku. Sijil kuning yang cemerlang membuktikan ketidaksia-siaan persekolahanku.

Di kolej, hidupku tak ubah seperti orang tak berhaluan. Tak mengapalah kot. Itu pun adalah lebih kurang dengan kehidupan aku sekarang.

Aku cuma ingin mengucapkan selamat hari guru kepada semua guru2 yang telah menjadi guruku, secara langsung dan tidak langsung, dan kepada semua guru2 yang kukenali.

* I'm so sorry, this entry has to be in Malay. You need a translator? :p

No comments:

Sponsor Links

Free Iphone?
Or Free Ipad?
Learn how to get free gadgets

Want to make money from Iphone/Ipad apps?
Affiliate yourself with apps developer to make money

Search Optimize your website
and win free gadget?
SEO Marketing