Kedengaran hairan sekali, beliau meneruskan tutur katanya, "Hari ni Farah asyik kena turun naik pentas, ambil kertas dan pulangkan semula".
Pecah ketawa saya mendengarkan kisah tersebut. Adik saya tidak faham. Sebenarnya, beliau akan mendapat hadiah di atas kecemerlangannya di dalam peperiksaan. Beliau mendapat nombor satu! Itu pun setelah saya membaca satu surat pekeliling yang diberikan kepada setiap ibu-bapa yang anak-anaknya cemerlang di dalam peperiksaan yang berlalu, di samping ucapan tahniah dan jemputan untuk menghadiri majlis tersebut.
Jauh di sudut hati saya, saya menanamkan keazaman untuk bangun awal esok dan turut serta dengan ibu saya menghadiri majlis penganugerahan hadiah anak-anak cemerlang tersebut. Saya memang kena berazam sebab saya sukar bangun awal hehehe.
Kami tiba agak awal iaitu sekitar 7.55 kerana pagi-pagi lagi ibu saya sudah berleter memarahi Farah kerana bersikap sambil lewa untuk bersiap-siap ke sekolah. Setiabnya di sana, saya rasa sayalah yang paling macho sekali sebab boleh dikatakan yang hadir buat waktu itu semuanya perempuan. Sudah tentulah saya seorang sahaja lelaki. Sampai awal pun membuang masa kerana agak lama menunggu jemputan barulah majlis dimulakan.
Perlahan-lahan lebih ramai ibu-bapa yang datang. Majlis dimulai dengan nyanyian lagu apa entah, yang jelas menunjukkan sikap sambil lewa guru yang diamanahkan untuk mengemudi acara persembahan. Apalah salahnya mencari 'minus one', ini tidak, guna sahaja muzik dengan suara penyanyi-penyanyi sekali digunakan. Disusuli dengan nyanyian nasyid, suara kanak2 tadika gamaknya, tapi hati saya tersentuh apabila seorang murid perempuan menyanyikan lagu yang kedua, lunak sekali suaranya, maklumlah budak-budak baru sekolah rendah, mempunyai suara sebegitu pada saya memang syahdu sekali. Farah tak usah haraplah. Memang 'tone deaf' sungguh.
Diikuti dengan ucapan Guru Besar, taklah teruk sangat pun sekolah tersebut. Banyak juga pencapaian non-Akademiknya, malahan sampai ke peringkat negara. Ramai juga pelajar-pelajar sekolah tersebut yang wakil Johor main bolasepak, bolajaring dan hoki. Tiada pula yang main sepaktakraw. Mungkin saya sahaja yang handal sepaktakraw gamaknya.
Kemudian, si Jemputan pula yang berucap. Dia bekas murid sekolah itu. Umurnya tua 2 tahun daripada saya. Pelbagai nostalgia yang cuba diungkitkannya menerusi ucapannya yang pada saya kurang jelas dan membuatkan saya mengantuk yang amat sangat. Saya hanya terjaga apabila kedengaran bunyi seretan kasut kanak-kanak beramai-ramai di luar dewan. Oh rupanya majlis penganugerahan hadiah sudah hendak bermula.


Tetapi hati ini tersentuh yang sentuhan yang amat menghibakan apabila kisah hidup pelajar yang menjadi Tokoh Kurikulum(Akademik) dibacakan (dalam gambar dibulatkan). Di sebalik wajah manis pelajar tersebut, tersirat seribu kepahitan hidup yang terpaksa dilalui sepanjang liku kehidupannya yang hanya berusia 12 tahun itu. Bapanya telah meninggal dunia semasa beliau hanya berusia enam tahun. Walaupun tanpa kasih sayang seorang yang bernama ayah, beliau menunjukkan kesungguhannya dan berjaya memperoleh tempat pertama dalam setiap peperiksaan. Dan di sebalik wajah macho saya ini, saya serasa ingin menitiskan air mata mendengar kisah pelajar tersebut. Alangkah bahagianya ayahanda pelajar tersebut sekiranya ayahandanya masih hidup. Kesedihan saya itu menghalang perhatian saya daripada mendengar kisah Tokoh Murid sebenarnya, tetapi tak mengapalah, janji saya boleh pulang dan menulis blog ini.
Semoga kita bersyukur dengan apa yang kita ada...
-Izham-
No comments:
Post a Comment